Monday, February 11, 2008

Malaysia Adalah Hak Bersama

Oleh Wan Saiful Wan Jan dan Tricia Yeoh.

Artikel penuh di sini

"Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah menerima hakikat bahawa semua rakyat Malaysia, Melayu atau bukan Melayu, adalah juzuk-juzuk penting dalam negara kita Malaysia. Maka kita harus berhenti mensensasikan perkara-perkara emosional seperti isu kaum dan agama, dan menghapuskan segala prasangka.

Kenapa setiap kali kita bercakap mengenai Islam, maka kita sengaja menimbulkan isu murtad? Kenapa setiap kali kita bercakap mengenai penganut agama Hindu ianya seolah-olah mereka mahu menimbulkan kacau bilau? Kenapa setiap kali kita bercakap mengenai kaum Tionghua ianya seolah-olah mereka merompak kekayaan negara? Kenapa setiap kali kita bercakap mengenai penganut agama Kristian, ianya seolah-olah semua umat Islam mesti sangsi terhadap mereka?

Kedua-dua kami adalah daripada bangsa dan agama yang berbeza. Tetapi kami bangga untuk menyatakan bahawa Malaysia adalah negara kami yang kami cintai. Kami tidak mahu berdebat mengenai mana yang lebih betul, Islam atau agama Kristian. Tetapi, kami yakin bahawa adalah lebih baik sekiranya nilai-nilai mulia yang boleh dicerna daripada kedua-dua agama ini diolah untuk sama-sama memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia. Nilai-nilai mulia seperti keadilan dan integriti sememangnya dikongsi bersama, dan inilah yang sepatutnya diberi tumpuan.

Sebagai seorang Muslim dan seorang Kristian, terdapat pelbagai perkara yang kami sama-sama persetujui dalam rangka menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan berdaya saing menjelang tahun 2020. Contohnya, dalam menterjemahkan prinsip keadilan kepada polisi negara, kita perlu berusaha memastikan setiap rakyat negara ini mendapat kesaksamaan peluang. Usaha membasmi kemiskinan mestilah dijalankan secara sama rata dan merangkumi semua kaum dan agama.

Setelah lima puluh tahun merdeka, sudah sampai masanya kita menjadi lebih matang. Malangnya, politik perkauman dan politik keagamaan nampaknya masih lagi menghantui kita, baik dalam sembang-sembang kedai kopi mahupun dalam diskusi intelektual. Kita masih lagi dibelenggu sejarah lama. Belenggu ini perlu dihapuskan jika kita benar-benar mahu melangkah kehadapan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa setelah lima puluh tahun merdeka, Malaysia bukan negara untuk satu kelompok tertentu sahaja. Malaysia bukan milik mana-mana individu atau kumpulan. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Malaysia adalah hak kita bersama. Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan hak seorang rakyat dalam negara yang kita miliki bersama semata-mata kerana perbezaan agama atau bangsa.

Sebagai rakyat Malaysia, golongan minoriti perlu sama-sama memainkan peranan untuk membentuk Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Golongan minoriti dan majoriti perlu berkongsi tenaga dan buah fikiran. Semua pihak perlu memberi cadangan dan perlu mengkritik. Cadangan dan kritikan yang diutarakan mestilah dilihat sebagai tanda bahawa kita semua sama-sama berusaha memperbaiki negara ini.

Muslim dan bukan-Muslim, Melayu dan bukan Melayu, kita semua adalah rakyat Malaysia dan kita semua mempunyai hak ke atas Malaysia. Sudah tiba masanya kita merungkai belenggu perdebatan yang berlandaskan kaum dan agama. Setiap seorang rakyat Malaysia mempunyai hak yang sama, tidak kira sama ada mereka dari golongan majoriti mahupun minoriti."

No comments: